Friday, November 14, 2008


Fizikal: Senaman lantai kuat abdomen bawah
Oleh Diyanah Anuar diyanah@bharian.com.my
KEBANYAKAN aktiviti senaman tidak begitu memberi tumpuan kepada abdomen bawah badan. Bagi memastikan bahagian ini tidak mudah sakit atau lemah, anda boleh mengamalkan senaman lantai yang cukup ringkas dan boleh dilakukan berulang kali. Gerakan senaman lantai dapat memberi impak kepada bahagian abdomen bawah kerana bahagian ini paling sukar untuk dibentuk dan dianggap bahagian paling lemah. Menurut jurulatih kecergasan Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd, Mohamad Izham Mohlis, abdomen bawah dianggap lemah kerana amat jarang senaman membabitkan bahagian badan ini.
“Senaman bangkit tubi yang biasa dilakukan kebanyakan orang sebenarnya lebih banyak memberi kesan kepada bahagian abdomen atas berbanding bahagian bawah. “Sehubungan itu, senaman lantai adalah senaman paling sesuai untuk menguatkan bahagian abdomen bawah,” katanya memberi panduan senaman lantai seperti berikut:
A1 : Pastikan anda menggunakan tikar senaman bersesuaian. Baring dengan keadaan lengan diletakkan di sisi. Bengkokkan sebelah kaki dan luruskan kaki satu lagi ke atas.
A2 : Lakukan pergerakan ke bawah dan ke atas pada kaki yang lurus dalam kiraan sepuluh. Lakukan pergerakan sama pada kaki yang satu lagi, sebanyak tiga set . Ketika membuat pergerakan ini, pastikan pinggul anda tidak terangkat.
B1 : Baring dengan keadaan lengan diletakkan di sisi. Naikkan kaki ke atas dan bengkokkan 90 darjah. Ketika ini, pastikan anda bernafas secara normal.
B2 : Selepas itu, luruskan kaki ke atas dan bertahan dalam kiraan lima saat. Ketika melakukan pergerakan ini, pastikan anda bernafas secara normal. Ulang pergerakan ini sepuluh kali, sebanyak tiga set.