Saturday, November 14, 2009

Diabetes bukan halangan puasa

Oleh Hafizah Iszahanid dan Suzan Ahmad
bminggu@bharian.com.my




Penghidap bijak kawal pemakanan, pengambilan ubat teratur mampu teruskan ibadat

MENGAWAL kadar gula dalam darah, terutama pada Ramadan sememangnya cabaran paling besar untuk mereka yang disahkan menghidap diabetes atau kencing manis. Malah, ada kalanya jika kandungan gula terlalu tinggi atau terlalu rendah, pesakit dinasihatkan tidak meneruskan puasa.

Namun, kata Pakar Runding Endrokologi, Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein, jika pesakit bijak mengawal kadar gula dalam darah, berpuasa bukanlah halangan besar. Malah dengan nasihat doktor dan ubah suai dos yang perlu diambil, pesakit sebenarnya masih mampu menjalani ibadat puasa.Malah, tidak ramai yang menyedari, bagi pesakit yang sudah lama didiagnos dengan diabetes, bulan puasa adalah waktu yang dinanti-nantikan kerana lebih mudah sebenarnya bagi mereka mengawal tahap gula dalam darah.

“Pesakit yang sudah lama didiagnos dengan diabetes, mereka sudah tahu perubahan pengambilan dos insulin selain pemakanan. Bagaimanapun, pesakit kanak-kanak yang baru didiagnos dengan diabetes, Ramadan memang bulan yang mencabar,” katanya.

Lebih 1.2 juta warga Malaysia ialah pesakit diabetes dengan anggaran kes baru sekitar 650,000 setiap tahun, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan menjelang 2030, ada seramai 180 juta pesakit diabetes di seluruh dunia.



Di Malaysia, 95 peratus pesakit diabetes adalah daripada Jenis Dua. Namun, kebanyakan pesakit diabetes Jenis Satu pula ialah kanak-kanak dan remaja.

“Diabetes Jenis Satu paling sukar kerana pesakit langsung tiada insulin dalam badan, jadi jika kurang menerima suntikan, mereka berisiko berdepan masalah gula naik secara mendadak.

“Lazimnya pesakit diabetes Jenis Satu ialah mereka yang sudah disahkan menghidap diabetes sejak bertahun-tahun lamanya. Jadi mereka sudah tahu melakukan perubahan terhadap pemakanan. Mereka tidak sukar menempuh Ramadan melainkan ubat-ubatan mereka sudah bertukar atau baru mendapat suntikan insulin, mereka secara khusus perlu dinasihatkan dan dimaklumkan bagaimana mengelak gula turun atau naik secara mendadak,” katanya.

Dr Zanariah berkata, selain itu pemakanan juga antara faktor penting bagi menguruskan diabetes ketika Ramadan. Lebih mudah katanya, diet pesakit diabetes tidak sama, selain keperluan ubat-ubatan juga tidak sama. Namun, secara umum kebanyakan pesakit akan makan lebih ketika berbuka puasa dan sahur pula ringan, justeru pemberian dos juga perlu diterbalikkan.

Panduan bagi pesakit diabetes yang dibenarkan berpuasa

  • Diet - Elak makan berlebihan ketika berbuka puasa dan pada waktu malam. Karbohidrat dan makanan berlemak boleh menambahkan berat badan serta menyukarkan kawalan diabetes.

  • Senaman - Melakukan aktiviti fizikal yang ringan ketika berpuasa tidak akan mendatangkan kemudaratan. Perubahan diet dan ubat-ubatan ketika bersahur harus dibuat (mengikut nasihat doktor) bagi mengelakkan kadar gula dalam darah turun mendadak.

  • Ubat - Dapatkan nasihat doktor mengenai pengubahsuaian dos serta waktu pengambilan ubat. Sebagai panduan, dos ubat-ubatan yang diambil pada sebelah pagi pada hari tidak berpuasa ditukar masa pengambilannya ke waktu berbuka puasa. Dos yang diambil sebelum makan malam sewaktu tidak berpuasa, pula perlu diambil sebelum bersahur. Pengurangan dos yang diambil mungkin perlu untuk mengelakkan kadar gula dalam darah turun atau naik mendadak.

  • Insulin - Dos dan waktu insulin disuntik harus diubahsuai mengikut arahan doktor berdasarkan ujian tahap gula dalam darah yang dilakukan pada permulaan bulan puasa, seperti berikut:

  • Tiga kali suntikan insulin: Dua dos insulin yang bertindak segera (short-acting insulin) ketika berbuka dan sebelum bersahur. Ini diikuti dengan satu dos insulin yang bertindak lama (intermediate acting insulin) sebelum tidur.

  • Dua kali suntikan insulin: Satu dos insulin yang sudah dicampur (premixed insulin) ketika berbuka puasa. Dos yang diperlukan ialah sama seperti dos yang diberikan pada waktu pagi pada hari tidak berpuasa. Satu dos insulin yang bertindak segera pula diberi sebelum bersahur (0.1 - 0.2 unit insulin/kg berat badan)

    Bagaimana pula dengan pesakit yang berdepan dengan masalah diabetes ketika hamil?

    Kata Dr Zanariah, umumnya wanita hamil tidak digalakkan berpuasa, namun jika pengurusan diabetesnya baik wanita itu masih boleh berpuasa.

    “Bagi wanita yang didiagnos dengan diabetes sebelum hamil, apabila sudah berbadan dua, dia perlu mengambil insulin berbanding ubat biji. Penggunaan insulin berisiko tinggi untuk berdepan dengan masalah gula rendah. Jadi sewaktu mengandung, risikonya lebih ketara. Pada tempoh kehamilan, kawalan gula sangat penting untuk memastikan perkembangan janin,” katanya.

    Bagi mereka yang menghidap diabetes ketika hamil, biasanya diabetes yang dialami tidak teruk dan mereka hanya perlu mengawal diet untuk terus berpuasa.

    “Jika kawalan gula yang baik dan mengikut garis panduan mereka boleh puasa,” katanya.

    Fakta: Peringatan umum pesakit diabetes berpuasa

    1) Jangan melengahkan berbuka tetapi melambatkan bersahur.

    2) Bagi pesakit yang baru berpuasa digalakkan mengukur gula dalam darah supaya mereka boleh nilai tindak balas kadar gula dalam darah waktu berpuasa. Tahap gula diuji pada, sebelum bersahur antara dua ke empat jam selepas bersahur, sebelum berbuka puasa dan antara dua ke empat jam selepas berbuka.

    3) Makan ubat/menyuntik insulin mengikut nasihat doktor.

    4) Makan berpada-pada ketika berbuka serta kurangkan hidangan yang manis.

    5) Mengawasi penyakit diabetes dan kesihatan mereka secara umumnya.

    6) Mengenali tanda-tanda hipoglesemia (kekurangan gula dalam darah), hiperglisemia (gula berlebihan dalam darah) dan dehidrasi.

    7) Segera berbuka apabila mengalami masalah sama ada hipoglesemia, hiperglisemia atau dehidrasi. Haram untuk pesakit meneruskan puasa kerana ia boleh memudaratkan mereka.

    8) Mengubahsuai dos ubat atau insulin dan waktu ia harus dimakan /disuntik mengikut syor doktor.

    Simptom hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi:

    Tanda-tanda hipoglisemia:
  • Menggigil
  • Terlalu lemah
  • Amat lapar
  • Berpeluh
  • Pucat
  • Berdebar-debar
  • Gelisah
  • Koma (tak sedarkan diri)

    Tanda-tanda hiperglisemia:
  • Kerap buang air kecil
  • Terlalu dahaga
  • Sangat letih

    Tanda-tanda dehidrasi:
  • Amat dahaga
  • Kulit dan lidah yang terlalu kering
  • Fikiran terganggu

    Pesakit diabetes tidak dibenarkan berpuasa sekiranya:
  • Penyakit diabetes yang dihidapi tidak stabil. Bimbang ia akan mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti dehidrasi (kekurangan air), jangkitan kuman dan koma.
  • Tidak mematuhi nasihat penjagaan diet, pengambilan ubat-ubatan dan insulin.
  • Mengalami komplikasi diabetes yang serius seperti penyakit jantung koronari dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal.
  • Kerap mengalami koma diabetik ketoasidosis.
  • Kerap mengalami koma hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah).
  • Mengalami jangkitan kuman.
  • Warga tua dan tinggal bersendirian.
  • Wanita hamil yang memerlukan suntikan insulin.
  • Berusia bawah 12 tahun.

  • sumber http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Sihat/20090906074356/Article/

    Diabetes ibu segala penyakit

    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@bharian.com.my

    komplikasi termasuk jantung, buta, strok

    DI sebalik kempen meraikan Hari Diabetes Sedunia yang disambut semalam, ada fakta lain yang harus dititikberatkan ramai apabila membicarakan kewajaran pelbagai program dan usaha kesedaran bahaya kencing manis ini.

    Faktanya - setiap 10 saat, dua orang disahkan menghidap diabetes di seluruh dunia manakala empat juta lain maut akibatnya setiap tahun. Tidak cukup dengan itu, diabetes juga berada di tangga keempat penyakit membawa maut.
    Menggerunkan bukan? Hakikatnya, di Malaysia sendiri, kira-kira 1.2 juta rakyatnya disahkan penghidap diabetes atau kencing manis. Malangnya, apa yang menyedihkan, separuh daripada jumlah itu tidak menyedari mereka menghidap diabetes sehinggalah dirawat kerana berdepan salah satu komplikasi diabetes.

    Setiausaha Am Persatuan Diabetes Malaysia, Datuk Rahimah Ahmad berkata, faktor Malaysia yang diketahui kaya pelbagai jenis hidangan yang lazat, sedikit sebanyak menjadikan ramai leka dengan kandungan gula dan kalori makanan yang diambil.

    “Faktor ini digabung pula dengan gaya kehidupan moden kurang aktif yang menyumbang kepada peningkatan kes diabetes yang ketara di negara ini,” katanya ketika merasmikan acara kempen kesedaran diabetes kepada orang awam anjuran persatuan itu, baru-baru ini.

    Selain penyakit maut, diabetes juga kerap dirujuk sebagai ibu segala penyakit kerana memungkinkan pesakitnya berdepan pelbagai komplikasi kesihatan seperti masalah jantung termasuk kegagalan fungsi jantung. Malah, risiko serangan angin ahmar sememangnya lebih tinggi di kalangan pesakit diabetes berbanding bukan penghidap penyakit itu.

    Bukan itu saja, pesakit diabetes juga berisiko hingga empat kali ganda terhadap penyakit jantung atau yang berkaitan kardiovaskular.

    Pensyarah Perubatan dan Pakar Runding Kanan Endokrinologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed, pula menegaskan, diabetes adalah penyakit seumur hidup yang setakat ini tidak boleh disembuhkan.

    Namun, usaha mengawal pemakanan, melakukan senaman dan mengambil ubat-ubatan mengikut keperluan adalah kaedah pengurusan diabetes yang baik.

    Gengran antara komplikasi akibat diabetes.

    “Diabetes yang tidak dikawal dengan baik boleh memendekkan hayat seseorang sehingga 10 tahun,” katanya.

    Biarpun diabetes dikenali sebagai penyakit orang dewasa, namun kebelakangan ini diabetes Jenis Dua terbukti semakin meningkat di kalangan kanak-kanak dan remaja. Ia dikaitkan dengan masalah terlalu gemuk atau obesiti, kurang bersenam dan diet tidak sihat.

    “Gaya hidup dan pemakanan menjadi punca kegemukan yang membawa kepada diabetes. Malah hari ini, tidak menghairankan jika anda mengenali seorang pesakit diabetes yang hanya berusia 12 atau 10 tahun,” katanya.

    Jelas Dr Mafauzy, berdasarkan Kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan pada 2006, menyenaraikan Negeri Sembilan dan Melaka sebagai negeri yang mencatatkan kadar peratusan pesakit diabetes tertinggi di Malaysia manakala kadar diabetes terendah adalah di Sabah.

    “Faktor genetik sememangnya penyumbang besar masalah diabetes. Di Malaysia, majoriti pesakit diabetes berketurunan India diikuti Melayu dan Cina.

    “Namun perlu diingat, jika seseorang itu lahir dalam keluarga yang ada sejarah penyakit itu maka risiko untuknya menghidap diabetes sangat tinggi. Oleh itu, langkah pencegahan yang boleh diamalkan adalah pemakanan sihat dan lakukan senaman,” katanya.

    Dr Mafauzy berkata, tidak ramai yang tahu, tetapi hakikatnya hampir 90 peratus pesakit diabetes di seluruh dunia adalah daripada Jenis Dua. Selain faktor genetik, diabetes jenis ini turut dikaitkan dengan obesiti dan tidak aktif secara fizikal.

    Diabetes Jenis Dua ini juga satu masalah kronik yang menjejaskan kaedah tubuh menangani glukos. Ini disebabkan diabetes jenis ini menyebabkan tubuh menolak kesan insulin atau tubuh tidak menghasilkan kadar insulin mencukupi bagi mengekalkan tahap glukos normal.

    Diabetes Jenis Dua juga tidak memerlukan insulin sepanjang hayat tetapi anda boleh mengawal glukos dalam darah dengan diet, bersenam atau kombinasi pengambilan ubat-ubatan atau di kalangan sesetengah pesakit mungkin perlu mengambil sedikit insulin.

    “Ada kala pesakit menunggu simptom datang sebelum mendapat rawatan. Namun, ada kala mereka langsung tidak sedar simptom yang ditunjukkan tubuh mereka. Ia menyebabkan mereka hanya tahu diserang diabetes secara tidak sengaja selepas terjadinya komplikasi kesihatan,” katanya.

    Kadang kala, jika ada simptom pun, ia sangat minimum. Secara umum simptom diabetes adalah kerap membuang air kecil (polyuria), kerap dahaga (polydipsia), kerap lapar (polyphagia) dan hilang berat badan tanpa sebab yang khusus, rasa kebas yang ekstrim, rasa sakit pada kaki (disesthesias) dan penglihatan kabur.

    Bagi jangka masa yang lama, diabetes menyebakan komplikasi pada jantung, salur darah, mata, ginjal juga saraf. Retinopati misalnya adalah sebab utama buta dan ia terjadi kerana jangka masa panjang. Retinopati menyebabkan kerosakan pada salur darah kecil di retina.

    Secara umum tanpa pengurusan diabetes yang baik, selepas 15 tahun menghidap diabetes, dua peratus pesakit menjadi buta manakala 10 peratus berhadapan dengan masalah penglihatan.

    Secara lebih teknikal pula, komplikasi diabetes terbahagi kepada komplikasi mikrovaskular (membabitkan salur darah kecil) seperti buah pinggang (nephropathy), saraf rosak (neuropathy), penglihatan terjejas (retinopati, katarak atau glaukoma).

    Manakala komplikasi makrovaskular (membabitkan salur darah besar) menyebabkan masalah seperti jantung, angin ahmar, gangrene dan akhirnya kaki dipotong (amputasi) selain masalah metabolik, mati pucuk dan masalah waktu hamil.

    INFO: Faktor Risiko Diabetes Jenis Dua

  • Usia dan bangsa - semakin anda berusia semakin tinggi risiko diserang diabetes. Apatah lagi jika anda dari keturunan kulit hitam, Asia Selatan dan kaukasian. Dalam satu kajian di United Kingdom didapati mereka yang berketurunan kulit hitam dan Asia Selatan (India, Pakistan, Bangladesh) adalah lima kali lebih berisiko diserang diabetes berbanding mereka yang berkulit putih.

  • Genetik - jika ada lahir dalam keluarga yang memiliki sejarah diabetis. Risiko anda lebih tinggi jika ahli keluarga itu adalah emak atau ayah malah bapa saudara sama ada sebelah ibu atau ayah.

  • Obesiti - kebanyakan mereka yang menghidap diabetes Jenis Dua adalah obes. Lebih gemuk seseorang itu lebih tinggi risikonya. Apatah lagi jika tidak aktif bersenam.

  • Diabetes waktu hamil - wanita yang diserang diabetes waktu hamil berisiko untuk menghidap diabetes.

  • sumber http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Sihat/20091115091201/Article/